Jumaat, 2 Jun 2023

ANALISIS DIMENSI WACANA : MODEL FAIRCLOUGH

 

KOD KURSUS

BML 3123

  

NAMA KURSUS

ANALISIS WACANA BAHASA MELAYU


PENSYARAH

PROFESOR MADYA DR. MOHD RASHID BIN MD IDRIS


TUGASAN KUMPULAN

ANALISIS DIMENSI AMALAN WACANA KRITIS MENGGUNAKAN MODEL FAIRCLOUGH 

    

KUMPULAN 


1.0 PENGENALAN 


Bidang wacana merupakan satu bidang yang melibatkan penyelidikan dan tidak asing lagi dalam dunia tersebut. Sejarah wacana Bahasa Melayu di Malaysia  lebih lewat berkembang berbanding di Barat dimana ianya bermula sekitar tahun 1980-an dengan adanya penyelidikan seperti artikel, disertasi dan buku.

    Wacana dikatakan merupakan unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut melibatkan ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, buku, siri buku dan sebagainya. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Perkataan wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris. Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Dengan adanya wacana, satu ayat dapat digabungkan dengan ayat yang lain dengan mempunyai koherensi dan kohesi yang berkesinambungan, yang mempunyai permulaan dan pengakhiran yang nyata. Wacana ini boleh disampaikan secara lisan dan tulisan.

    Analisis wacana kritis (AWK) ini bermula sejak tahun 1990-an apabila munculnya tokoh-tokoh yang mahir dalam bidang ini seperti Teun Van Dijk, Ruth Wodak dan Norman Fairclough yang telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang analisis wacana ini melalui penyelidikan dan penulisan. Pengkaji-pengkaji ini telah merangka kerja model dan pendekatan yang berbeza serta mencipta teori-teori yang  masih digunakan dalam bidang analisis wacana sehingga kini. Kumpulan ini telah memilih tiga jenis video iklan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Video iklan yang dipilih ialah daripada Syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertajuk “Raya Macam Cara”, iklan daripada Era Foods MY (ERA Raya 2023) yang bertajuk “Tetamu” dan iklan daripada Syarikat Petronas (Petronas Raya 2023) yang bertajuk “Dilema Raya”.


2.0 PENJELASAN GENRE IKLAN


Berdasarkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah iaitu penganalisisan data terhadap iklan hari raya, iaitu kami telah memilih 3 jenis iklan daripada syarikat yang berbeza. Antaranya ialah daripada Syarikat TENAGAofficial, Syarikat Era Foods MY dan juga Syarikat Petronas. Ketiga-tiga iklan hari raya yang kami ambil ini telah menceritakan kisah yang berbeza-beza. Iklan tersebut telah kami perolehi melalui aplikasi Youtube dan akan dianalisis secara wacana kritis dengan menggunakan Model Fairclough.



Rajah 1 : Iklan Hari Raya daripada TNB (Raya Macam Cara)

Iklan di atas merupakan iklan hari raya yang menunjukkan masyarakat melayu menyambut perayaan hari raya Aidilfitri pada zaman moden. Iklan hari raya ini yang disiarkan ini merupakan iklan daripada TNB (Tenaga Nasional Berhad) melalui laman Youtube rasmi iaitu di https://www.youtube.com/watch?v=RROuAnGO3Yc . Iklan yang berdurasi 5 minit 03 saat ini memaparkan kisah sepasang suami isteri yang sedang menunggu kepulangan anak-anaknya setelah 2 tahun tidak beraya bersama pada raya pertama yang dari seluruh negeri. Antaranya ialah negeri Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor dan juga Sarawak. Selain itu, iklan ini juga mengisahkan tentang cara masyarakat menyambut hari perayaan ini yang tersendiri daripada pelbagai aspek seperti dari segi pemakaian, dari segi makanan, cara bermaafan dan sebagainya mengikut negeri masing-masing. Iklan ini sesuai untuk disiarkan kepada masyarakat dunia bagi mereka mengenali bahawa cara untuk menyambut hari perayaan Aidilfitri ini berbagai-bagai dan sesuai untuk semua generasi pembaca tidak kira tua atau muda.  Iklan hari raya ini merupakan iklan yang kebanyakan dilihat oleh masyarakat Melayu termasuk juga masyarakat lain. Oleh hal demikian, iklan ini sangatlah bersifat umum dan tidak memfokuskan kepada satu perkara sahaja. Berdasarkan iklan ini, penggunaan ayat sangatlah menarik minat pembaca kerana pembaca boleh terdedah dengan loghat yang digunakan dalam iklan ini. 



Rajah 2: Iklan Hari Raya daripada ERA (Tetamu) 

 Iklan pada rajah 2 ini menunjukkan tentang imej masyarakat kampung yang hidup dalam kesusahan dan tidak mampu menampung kehidupan seharian. Iklan ini diterbitkan oleh Syarikat Era yang berjudul Tetamu. Iklan yang disiarkan ini berdurasi 4 minit 49 saat di laman Youtube iaitu  https://www.youtube.com/watch?v=ptj3JPr3fwY . Iklan hari raya ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Mail yang bekerja di sebuah kedai kecil dan akan menerima tetamu iaitu majikannya sendiri untuk berbuka puasa di rumahnya namun mendapat tentangan daripada anaknya kerana mereka kekurangan beras untuk dimasak mereka sekeluarga apatah lagi untuk menerima tetamu lain. Namun setiap yang berlaku ada hikmahnya dan ada kebaikan iaitu pada akhirnya si majikan memberikan beras dan beberapa jumlah wang kepada Mail untuk digunakan bagi membeli keperluan raya yang akan menjelang tiba. Melalui iklan Tetamu ini, ianya menyelitkan beberapa nilai moral atau nilai pengajaran kepada masyarakat yang melihat iklan tersebut. Iklan ini juga membawakan elemen-elemen yang menyentuh hati masyarakat yang memang hal ini terjadi di dunia nyata . Walaupun kelihatan iklan ini klise, namun sesungguhnya ianya memberi kesan dari segi emosi kepada penonton. 

Rajah 3 : Iklan Hari Raya daripada PETRONAS (Dilema Irama)

Berdasarkan iklan di atas, iklan ini mengisahkan tentang seorang pemuda melayu yang bernama Nadim ingin pulang ke kampung halaman. Iklan hari raya daripada Petronas yang berjudul Dilema Irama berdurasi 10 minit 10 saat yang disiarkan di laman Youtube iaitu https://www.youtube.com/watch?v=llQnF45k2_k . Iklan ini merupakan iklan yang sangat terkenal dan sangat ditunggu oleh masyarakat melayu ketika menjelang bulan Syawal. Hal ini dikatakan demikian kerana iklan hari raya ini memaparkan beberapa kisah yang mampu mencuit hati rakyat Malaysia dengan menceritakan kejadian sebenar berlaku di sekeliling masyarakat. Iklan hari raya daripada Petronas ini banyak memberi moral kepada masyarakat melayu dengan membuka minda mereka tentang pentingnya lagu bergenre klasik atau tradisional. Iklan ini menunjukkan tentang imej zaman moden seperti mana yang ditunjukkan di dalam iklan tersebut. Iklan ini memfokuskan tentang lagu tradisional kini mulai pupus dan lagu moden mulai didengari oleh masyarakat sekarang. Hal ini membuatkan ayah kepada Nadim yang masih lagi memainkan alat muzik tradisional merasa kecewa dengan tindakan Nadim yang membanggakan muzik moden. Iklan ini menyelitkan beberapa nilai moral yang boleh diambil berat oleh masyarakat atau generasi muda sekarang untuk mengekalkan alat muzik tradisional dan lagu tradisional. Oleh itu tegasnya bahawa iklan ini memiliki elemen-elemen visual dan naratif yang mampu memberi kesan dari segi emosi kepada penonton ketika melihat iklan daripada Petronas ini. 

3.0 PENERANGAN AMALAN WACANA KRITIS 

Analisis Wacana Kritis (AWK) merupakan satu pendekatan yang boleh digunakan dalam menganalisis fenomena sosial yang berlaku di dunia ini. AWK ini umumnya digunakan untuk menganalisis teks media tetapi juga dapat dilakukan untuk menganalisis video iklan. Analisis wacana kritis ini memerlukan sebuah pendekatan yang mempunyai pelbagai kaedah untuk mendapatkan sesuatu hasil. Van Djik (2003) menyatakan bahawa Analisis Wacana Kritis ini merupakan cadangan kajian yang memberi fokus kepada bagaimana penyalahgunaan kuasa, dominasi dan ketidaksetaraan berlaku dalam konteks sosial dan juga politik. Namun begitu menurut Renkema (2:1) mendefinisikan sebagai satu disiplin ilmu yang mempelajari hubungan antara bentuk dan fungsi dalam bentuk komunikasi verbal iaitu (baik lisan mahupun tulisan). Hal ini dapat menunjukkan bahawa adanya hubungan antara wacana dan perkembangan sosial dan budaya secara serentak. Menurut Fairclough (1989:22), menyebut pemahamannya tentang bahasa dengan istilah discourse atau wacana. Konsep wacana menurut beliau adalah “praktik sosial” yang memiliki 3 implikasi iaitu sebahagian dari masyarakat, proses sosial dan berproses dan berkembang. 

Melalui pendekatan Fairclough (1995) ini, ianya menjelaskan bahawa tujuan Analisis Wacana Kritis dilakukan secara sistematik, meneroka hubungan dengan hubungan , amalan diskursif, peristiwa dan teks, serta menentukan struktur sosial dan budaya dengan lebih meluas, hubungan dan proses penghasilan teks tersebut. Selain itu, Fairclough (1995:23) memandang AWK ini sebagai penyatuan analisis teks, analisis proses produksi, distribusi dan konsumsi teks serta analisis sosiokultural dari praktik diskursif. Penggunaan AWK dalam kajian kami ini adalah untuk memperlihatkan konteks sosial kepada masyarakat. Melalui pendekatan wacana kritis dari Fairclough (1995) ini, adanya hubungan antara amalan sosiobudaya dengan suatu teks itu. Elemen tersebut menjadi satu perantara amalan wacana, AWK ini memberi perhatian terhadap cara suatu teks ini dihasilkan atau ditafsirkan. Hubungan teks dengan amalan sosiobudaya hadir melalui perantaraan amalan wacana. Dalam menghuraikan dan menjelaskan aspek proses berlakunya sosial yang tertanam dalam wacana, adanya beberapa penggunaan konsep wacana seperti wacana tiga dimensi dan menghubungkaitkan dengan kaedah analisis wacana secara bersama. Tiga dimensi yang digunakan tersebut adalah : 

 (i) teks dan wacana, secara lisan atau tulisan
(ii) amalan wacana menjurus kepada aspek penghasilan teks dan penginterpretasian tekks
(iii) amalan sosiobudaya (Fairclough, 1995).

4. 0 PENGGUNAAN DALAM KONTEKS -MODEL NORMAN FAIRCLOUGH

Bagi bahagian ini, pengkaji telah melaksanakan kajian dengan mengenalpasti dan menganalisis  data berkaitan dengan penggunaan jenis iklan yang telah dipilih.  Berdasarkan kajian ini, pengkaji telah menggunakan Model Fairclough iaitu penyebaran dan penggunaan berasaskan dimensi amalan wacana untuk menganalisis  data.  Berikut merupakan iklan-iklan yang diperolehi dan dianalisis mengikut jenis iklan yang telah dipilih dengan menggunakan Model Fairclough.

4.1 IKLAN RAYA DARIPADA TENAGA NASIONAL BERHAD- “RAYA MACAM CARA”

PENYEBARAN
Pengkaji telah memilih video iklan mengenai perayaan Hari Raya Aidilfitri oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertajuk “”Raya Macam Cara”. Iklan ini dianalisis menggunakan wacana. Berdasarkan iklan tersebut, terdapat unsur dimensi amalan wacana iaitu penyebaran. Iklan ini mempunyai fokus utama iaitu menyebarkan kepada masyarakat  tentang budaya dan amalan silaturahim antara keluarga walaupun berbeza negeri. Oleh itu,  iklan ini bertepatan dengan Model Fairclough kerana ianya disebarkan kepada khalayak umum.
Iklan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertajuk “Raya Macam Cara” mengisahkan satu pasangan suami isteri  yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama anak, menantu dan cucunya yang pulang ke kampung. Iklan video ini menarik perhatian penonton dengan memasukkan humor atau jenaka dalam penyampaiannya. Penyampaiannya juga jelas dan amat menghiburkan. Ianya memperlihatkan budaya atau adat orang Melayu serta memperlihatkan hubungan saudara antara negeri yang berbeza di Malaysia. Contohnya, negeri Kelantan, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak. Iklan ini memperlihatkan hubungan kekeluargaan yang terdiri daripada negeri timur, barat, utara dan selatan. Selain itu, dalam video iklan ini menjelaskan budaya dari aspek makanan atau hidangan setiap negeri yang berbeza dan unik. Cara pembuatan hidangan tersebut turut diperlihatkan dalam video iklan ini. Contohnya, hidangan kek lapis Sarawak, Laksa Utara dan Laksa Johor. Contoh maklumat dan info yang disebarkan oleh iklan tersebut kepada khalayak umum boleh dilihat dalam jadual di bawah :
Ayat (A)
Contoh Ayat
A1
“Hidangan raya tahun ni kita ada timur, barat, utara dan selatan.”
A2
“Keluarga ni ada macam-macam gaya. Barulah seronok atuk nak beraya !”
A3
“Bermacam cara menyambut raya. Menambah seri meriahnya suasana.”

Berdasarkan jadual di atas, pengisian iklan tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan ayat atau wacana dalam bentuk dialog. Hal ini dikatakan demikian kerana iklan tersebut memberikan maklumat atau info kepada penonton. Ayat dialog di atas menjelaskan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam hubungan keluarga. Ayat A1 menerangkan bahawa, keluarga mereka terdiri daripada negeri timur, barat, utara dan selatan. Ayat A2, pula menjelaskan bahawa keluarga mereka bermacam gaya dan tingkah laku yang membuatkan mereka berasa gembira yang merujuk kepada keluarga yang bahagia kepada penonton. Ayat A3, pula menjelaskan cara menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bermacam cara dan menambah kemeriahan suasana. Oleh itu, jelaslah bahawa, apa yang ingin disampaikan oleh iklan ini kepada penonton ialah kemeriahan menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam keluarga.

Selain itu, dari segi penggunaan warna latar, konsep dan watak-watak yang tak mengira usia dan bangsa turut diperlihatkan. Watak-watak terdiri daripada pelbagai latar negeri seperti Sarawak, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang. Watak-watak ini menggunakan bahasa ibunda mereka dengan dialek yang boleh difahami oleh penonton. Dimasukkan juga sari kata bagi memberikan kefahaman kepada penonton. Penggunaan jenis “Font” yang sesuai dapat memudahkan penonton untuk membaca dan memahami kandungan video iklan tersebut. Jelaslah bahawa, warna latar, konsep, dan jenis “Font” mempengaruhi minat dan menarik penonton untuk menonton video iklan ini.


PENGGUNAAN
Pengkaji telah memilih video iklan Hari Raya Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclough mengikut dimensi amalan sosial. Menurut Fairclough, analisis wacana kritisnya itu sebaik-baiknya merupakan satu usaha yang merentas aspek disiplin. Oleh itu, dalam bahagian ini hubungkait antara antara teks dengan masyarakat pengguna teks dilakukan bagi mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu wacana ini digunakan dalam masyarakat. Hal ini dapat dilihat melalui lingkaran ini yang ditujukan kepada masyarakat bahawa hari raya Aidilfitri merupakan  perayaan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana inilah peluang masyarakat untuk menziarahi saudara-mara  atau pulang ke kampung halaman. Video iklan tersebut menyajikan pelbagai pesan-pesan moral kepada masyarakat bahawa merayakan hari raya bersama keluarga besar di kampung merupakan salah satu  cara untuk kita saling mengenali saudara-mara yang lain.  Kebersamaan bersama keluarga semasa menyambut perayaan  ini dapat  mengekalkan keharmonian dan mengeratkan hubungan silaturahim khususnya ahli keluarga yang berhijrah ke bandar atas urusan pekerjaan.  Selain itu, penggunaan wacana dalam aspek penggunaan dapat dilihat semasa pewacana menggunakan wacana untuk menerangkan kepentingan merayakan hari raya di kampung dengan memaparkan suasana  kemeriahan tersebut sehingga  ahli keluarga yang tinggal di bandar bersemangat untuk balik ke kampung.  Walaupun mengambil masa yang panjang untuk memandu kenderaan serta mengambil kos perjalanan yang banyak  melalui pembelian minyak kereta tetapi itu tidak menghalang masyarakat untuk balik ke kampung.

4.2 IKLAN RAYA DARIPADA ERA FOOD MY - “TETAMU”

PENYEBARAN
Pengkaji telah menggunakan iklan yang berkaitan dengan Hari Raya Aidilfitri oleh Era Foods My yang bertajuk “tetamu”. Iklan ini dianalisis menggunakan wacana. Berdasarkan iklan tersebut, terdapat unsur dimensi amalan wacana iaitu penyebaran. Pengkaji telah menggunakan iklan yang berkaitan dengan Hari Raya Aidilfitri oleh Era Foods My yang bertajuk “tetamu”. Iklan ini mengisahkan tentang sebuah keluarga kecil yang sederhana. Suatu hari mereka diuji dengan kedatangan seorang tetamu yang bernama Pak Leman. Pak Leman meminta untuk berbuka puasa di rumah Mail.  Pada awalnya, Mail dan keluarganya bersangka buruk terhadap Pak Abu. Namun, pada akhirnya mereka bersyukur kerana Pak Leman telah memberikan sumbangan berasa beserta wang sebanyak seribu kepada mereka. Berdasarkan penelitian dan analisis daripada pengkaji telah mendapati bahawa, maklumat yang ingin disampaikan oleh iklan ini adalah tentang bersyukur dan jangan mudah bersangka buruk dengan orang lain. Contoh ayat dialog dalam iklan ini boleh dirujuk dalam jadual di bawah:
Ayat (A)
Contoh Ayat
A1
“Hish. Abah ni pemurah sangatlah”
A2
...“kalau kita berniaga ada untung lebih, rezeki lebih...sama-samalah kita kongsi.”
A3
“Allah tu Imah,...kalau dia nak hantar rezeki macam-macam cara”

 
Berdasarkan jadual di atas, pengisian iklan tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan ayat atau wacana dalam bentuk dialog. Hal ini dikatakan demikian kerana iklan tersebut memberikan maklumat atau info kepada penonton. Ayat A1, memperlihatkan dialog anaknya yang memarahi ayahnya kerana terlalu pemurah dan baik hati terhadap orang lain sehingga menyebabkan diri mereka sekeluarga mengalami kesusahan. Ayat A2 pula, menjelaskan perbualan Pak Leman dengan Mail selepas dia berkongsi rezeki dengan mereka sekeluarga. Di sini, pengkaji memahami dengan jelas maksud daripada video iklan ini iaitu jangan berburuk sangka dengan orang lain. Ayat A3, menjelaskan perbualan Mail dengan isteri serta anaknya iaitu sentiasa bersyukur dan sabar dengan cabaran yang menimpa mereka kerana ianya mungkin takdir Allah. Selain itu, dari segi penggunaan warna latar, konsep dan watak-watak yang tak mengira usia diperlihatkan. Dimasukkan juga sari kata bagi memberikan kefahaman kepada penonton.


PENGGUNAAN
Pengkaji telah memilih video iklan raya daripada Era Food My sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclough mengikut dimensi tekstual.  Dalam bahagian ini, perkara yang akan diberi perhatian dalam kajian ini ialah aspek tautan, iaitu tumpuan diberikan kepada unsur tautan yang disenaraikan oleh Nik Safiah Karim, et al. (2008).  Berdasarkan video iklan raya daripada Era Food My, pewacana telah menggunakan beberapa aspek tautan yang menunjukkan kesepaduan dalam pertuturan.  Keserasian hubungan ini dilihat melalui hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Tautan dapat mewujudkan kesinambungan ayat dalam perbualan sehingga membentuk satu kesatuan dalam pertuturan.  Hal ini dilihat melalui contoh ayat di bawah yang diambil melalui perbualan watak dalam video iklan tersebut.

Ayat (A)
Contoh Ayat
A1
...kalau kita berniaga untung  lebih, rezeki  lebih
A2
Bukan apa bini aku tu, dekat-dekat ni bukan main sibuk lagi sampai tak sempat masak.

Berdasarkan jadual di atas, contoh ayat yang diambil melalui perbualan watak-watak dalam video iklan tersebut yang memaparkan penggunaan tautan.  Ayat 1 menunjukkan bahawa terdapat tautan kolokasi kohiponiman dimana unsur ‘kalau kita berniaga’ bertautan secara kolokasi dengan frasa ‘untung lebih,rezeki lebih’.  Jelaslah bahawa contoh A1 ini mempunyai  tautan yang melibatkan hubungan makna hiponim, iaitu antara superodinat dengan ordinatnya.  Manakala A2 pula menunjukkan bahawa terdapat tautan penghubung sebab dan musabab dimana ayat tersebut menunjukkan Pak Leman berbuka puasa di rumah Mail kerana isterinya sangat sibuk sehingga tidak sempat untuk memasak. Mengikut kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa video iklan ini menggunakan dimensi tekstual untuk menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh masyarakat dalam video iklan tersebut.


4.3 IKLAN RAYA PETRONAS 2023 : DILEMA  IRAMA

PENYEBARAN
Pengkaji telah menggunakan video iklan raya daripada Syarikat Petronas sebagai bahan untuk dianalisis penggunaan wacana. Berdasarkan iklan tersebut, terdapat unsur penggunaan dimensi amalan wacana iaitu penyebaran. Analisis penyebaran ini bertujuan untuk menentukan kepada siapa sasaran iklan video tersebut disiarkan dan disebarkan. Oleh itu, proses penyebaran wacana ini melibatkan cara-cara penggunaan wacana dan disebarkan secara meluas kepada khalayak umum dan analisis penyebaran iklan video ini memberi perhatian kepada siapa wacana itu ditujukan. Selain itu, ianya juga melibatkan persoalan adakah ianya tersebar secara khusus kepada pihak tertentu sahaja (addersee), atau juga kepada pihak yang tidak ditujukan secara langsung tetapi diandaikan tersebar kepada sebahagian penonton atau audiens. Maka video iklan raya daripada Syarikat Petronas ini tidak disebarkan khusus kepada pihak tertentu sahaja tetapi disebarkan kepada khalayak umum. Video iklan raya ini menjelaskan tentang seorang pemuda Melayu yang bernama Nadim pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Nadim seorang yang cintakan muzik tetapi hanya muzik moden sedangkan ayahnya merupakan seorang pembuat alat muzik gambus dan pandai bermain alat muzik tersebut. Setelah kepulangan Nadim ke kampung, ayahnya meminta dia menggantikan seorang ahli dalam kumpulan muzik tradisional di kampungnya. Dia tidak dapat menolak permintaan ayahnya. Namun terdapat konflik yang berlaku antara Nadim dan ayahnya menyebabkan Nadim terpaksa melakukan sesuatu untuk mengambil semula hati ayahnya.

Penyebaran iklan ini berlaku untuk menarik minat penonton dengan memasukkan perbandingan antara muzik tradisional dengan muzik moden. Selain itu, video ini menyuruh penonton untuk memartabatkan muzik tradisional dan alat muzik tradisi. Video ini menarik perhatian penonton dengan memasukkan irama lagu ghazal yang merupakan lagu tradisional yang kian lama sudah jarang dimainkan di stesen-stesen radio dan diputarkan oleh generasi muda masa kini. Penyampaian maklumat mengenai muzik Melayu tradisional  boleh dilihat dalam jadual di bawah :

 
Ayat (A)
Contoh Ayat
A1
“Lagu tradisional kita ini tinggi adat budaya nya, penuh dengan adab”
A2
“Semuanya dengan lenggang-lenggok”
A3
“Lembut cara nyanyiannya”
A4
“Lirik-liriknya pun penuh dengan nasihat”

 
Berdasarkan jadual di atas, pengisian iklan tersebut telah menunjukkan contoh penggunaan ayat atau wacana dalam bentuk dialog. Hal ini dikatakan demikian kerana iklan tersebut memberikan maklumat atau info kepada penonton. Ayat dialog di atas menjelaskan tentang kelebihan muzik tradisional berbanding muzik moden. Ayat A1, A2, A3, dan A4, memperlihatkan bahawa muzik tradisional penuh dengan adat, budaya dan adab, disampaikan dengan lemah lembut beserta dengan nasihat sebagai pengajaran kepada pendengar. Melalui video ini, pengkaji memahami perkara yang ingin disampaikan kepada penonton iaitu penonton perlu memartabatkan dan mengangkat muzik dan alat muzik tradisional ini walaupun kian lama menghilang dalam dunia seni muzik. Muzik genre pop, balada, rock dan lain-lain sememangnya tidak dapat menandingi muzik tradisional kerana ianya melambangkan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.

Selain itu, dari segi penggunaan warna latar, konsep dan watak-watak yang tak mengira usia diperlihatkan. Watak-watak terdiri daripada masyarakat kampung yang meminati alat dan muzik tradisional. Walaupun masyarakat kampung meminati muzik tradisional mereka tidak terlepas dengan penggunaan aplikasi atau teknologi moden seperti telefon pintar, aplikasi “Facebook”, “WhatApps” dan “Tiktok” untuk mendapatkan maklumat dan berhubung antara satu sama lain. Dimasukkan juga sari kata bagi memberikan kefahaman kepada penonton. Penggunaan jenis “Font” yang sesuai dapat memudahkan penonton untuk membaca dan memahami kandungan video iklan tersebut. 

PENGGUNAAN
Pengkaji telah memilih video iklan raya daripada iklan raya Petronas 2023: Dilema Irama sebagai bahan untuk dianalisis dari segi penggunaan dalam konteks-model Norman Fairclough mengikut dimensi amalan wacana.  Dimensi amalan wacana ini merupakan satu usaha menginterpretasi secara reproduktif.  Keinterdiskursiviti dapat didefinisikan sebagai kesalingwacanaan atau kejalinan jenis-jenis wacana lain dalam wacana semasa (Idris Aman, 2014). Tambahan pula, interdiskursiviti boleh meneliti orang yang menghasilkan wacana, orang di belakangnya dan tujuannya. Terdapat beberapa jenis wacana yang terkandung dalam interdiskutiviti ini seperti wacana jenis laporan, penerangan, hujahan dan ekspresi.  Namun, dalam kajian video iklan raya Petronas 2023; Dilema  ini, hanya beberapa jenis wacana sahaja yang sesuai dipraktikkan sebagai amalan wacana yang bersesuaian dengan isi kandungan atau idea yang disampaikan melalui video iklan ini untuk dipertontonkan kepada masyarakat.  Hal ini dapat dilihat melalui contoh ayat di bawah yang diambil melalui perbualan watak dalam video iklan tersebut.
Ayat (A)
Contoh Ayat
A1
“Inilah budak-budak sekarang. Lagu tradisional kita ini tinggi adat budayanya, penuh dengan adab.  Pernah kau dengar lagu tradisional dinyanyikan terjerit-jerit? Semuanya dengan lenggang-lenggok. Lembut cara nyanyiannya.  Lirik-liriknya penuh dengan nasihat.” 
A2
Yang Jamil ini pun satu.  Dah tahu isteri ada gout, beria sangat nak buat mukbang.”


Berdasarkan jadual di atas, contoh A1 yang diambil melalui perbualan watak-watak dalam video iklan tersebut yang memaparkan penggunaan wacana jenis penerangan.  Wacana ini merupakan satu pemerihalan atau pendedahan kepada sesuatu maklumat secara terperinci dan lebih mendalam. A1 menunjukkan bahawa watak Man memberi penerangan kepada anaknya  iaitu Nadim bahawa lagu tradisional memiliki adat budaya yang tinggi dan penuh adab dan sopan.  Dalam contoh ini, Man mengemukakan contoh bahawa lagu tradisional dinyanyikan dengan lenggang - lenggok dan lirik  yang penuh dengan nasihat berbanding.  Wacana jenis penerangan ini juga bertujuan sebagai makluman dan pemberitahuan agar sesuatu perkara itu dapat difahami dengan lebih baik oleh penonton .  Manakala A2 memaparkan penggunaan wacana ekspresi.  Wacana jenis ekspresi ini merupakan wacana yang mempunyai perkaitan dengan aspek perluasan hasrat dan juga idea-idea.  Hal ini bermaksud wacana ini lebih menonjolkan idea atau hasrat dalam menyampaikan jalan cerita video iklan  ini sehingga menunjukkan aspek-aspek ekspresi setiap perbualan watak.  Melalui contoh ini, ibu Nadim sangat marah  kepada Jamil kerana membawa isterinya yang mempunyai penyakit gout untuk makan mukbang  kerang menyebabkan isteri Jamil mengalami sakit kaki. Hal ini menyebabkan anaknya terpaksa menggantikan posisi Jamil untuk membuat persembahan semasa hari raya.  Melalui intonasi yang tinggi melalui  watak ibu Nadim tersebut supaya penonton dapat memahami dan merasakan  ekspresi yang ditunjukkan.


5.0 PERBINCANGAN IMPLIKASI SOSIAL ANALISIS WACANA KRITIS

Menurut Zaliza Zubir & Rohizah Halim (2020), analisis wacana kritis dicirikan sebagai campuran disiplin dan bukan disiplin dalam menjalankan kajian. Menurut Van Dijk (2009) dalam kajian Zaliza Zubir et al. (2020), menegaskan bahawa analisis wacana kritis merupakan gabungan teori dan aplikasi kritis dan menghasilkan kajian wacana kritis.Wodak & Meyer (2009) juga turut menegaskan bahawa analisis wacana kritis mempunyai beberapa matlamat iaitu AWK dianggap sebagai penyelidikan sosial kerana kajian kritisnya berkaitan dengan masalah sosial dan pemahaman tentang hak asasi manusia, ketidaksamaan sosial, penyalahgunaan kuasa dalam domain seperti perkauman, kelas sosial, jantina dan sebagainya. Selain itu, analisis wacana kritis juga dikatakan berminat dengan isu-isu penindasan dan penguasaan kelompok tertentu kepada kelompok atau orang yang menjadi sasaran ketidakadilan. Jelaslah menunjukkan bahawa analisis wacana kritis berfungsi sebagai satu kaedah analisis dalam mengungkap ideologi tersembunyi dan meneliti keberadaan kekuasaan dalam penyelidikan wacana. Oleh itu, kajian yang dilakukan ini menggunakan teori wacana sosial yang digagaskan oleh Norman Fairclough untuk digunakan dalam kajian analisis wacana kritis untuk memperlihatkan ideologi yang tersembunyi melalui tiga iklan hari raya yang dikaji. 


5.1 IKLAN RAYA DARIPADA TENAGA NASIONAL BERHAD - RAYA MACAM CARA

Berdasarkan wacana yang dikaji, pewacana telah mengetengahkan iklan  daripada Tenaga Nasional Berhad yang bertajuk Raya Macam Cara. Iklan ini hanya berdurasi 5 minit sahaja. Iklan ini juga menyiarkan kepelbagaian cara untuk menyambut hari raya. Contohnya, kepelbagaian pemilihan pakaian hari raya, dengan corak dan warna baju raya yang berbeza menimbulkan kepelbagaian antara keluarga. Selain itu, keluarga tersebut juga hadir dalam pelbagai negeri, seperti Kelantan, Sarawak, Johor dan sebagainya. Bagi negeri Sarawak, juadah yang disiarkan dalam iklan tersebut adalah kek lapis Sarawak. Seperti yang kita ketahui bahawa kek lapis Sarawak mengambil masa yang lama untuk melakukannya. Seterusnya, kepelbagaian dari segi loghat percakapan dalam keluarga. Contohnya, loghat Johor, loghat Kelantan, loghat Utara dan juga loghat Sarawak. Kepelbagaian yang ada telah mewujudkan kebahagiaan bagi orang tua kita yang telah lama tidak dapat berjumpa atau raya bersama dengan kita. Oleh itu, hari raya adalah satu anugerah atau kesempatan untuk kita berkumpul satu keluarga, memohon maaf dan bertukar khabar. Iklan ini sangat menepati cita rasa masyarakat kita kini yang suka mewujudkan kepelbagaian dalam kehidupan. 


5.2 IKLAN RAYA DARIPADA ERA FOODS MY - TETAMU

Berdasarkan wacana yang dikaji, pewacana telah mengetengahkan iklan raya daripada Era Foods MY yang bertajuk “Tetamu”. Iklan ini hanyalah berdurasi selama 5 minit sahaja dan watak utama dibawa oleh Beto Kusyairy. Walaupun hanya sekadar 5 minit, tetapi iklan ini dapat menyentuh hati penonton dengan mimik muka menjiwai watak yang dilakonkan oleh barisan pelakon. Iklan ini juga telah mendapat sebanyak 407k tontonan dalam tempoh sebulan. Iklan ini juga menyiarkan kehidupan yang sederhana, pekerjaan biasa, kais pagi makan pagi, kain petang makan petang. Tetapi dengan kegigihan seorang bapa yang bekerja untuk menyara keluarga telah mendapat ganjaran daripada Allah.  Iklan “Tetamu” ini mengajar kita supaya sentiasa bersyukur walau susah macam mana pun kita untuk meneruskan kehidupan. Kadang kala dengan kehadiran “tetamu” inilah Allah mahu sampaikan rezeki kepada kita. Di akhir iklan ini, kegusaran dan kegelisahan dalam hati keluarga kecil itu akhirnya terlerai ketika Pak Leman memberikan beras dan wang untuk perbelanjaan keluarga Mail. Secara keseluruhannya, iklan ini dapat mendidik masyarakat supaya sentiasa bersyukur dan percaya dengan ketentuan Allah. Tidak dilupakan juga supaya sentiasa bersedekah kepada orang yang kurang berkemampuan. 

5.3 IKLAN RAYA DARIPADA PETRONAS - DILEMA IRAMA

Berdasarkan wacana yang dikaji, pewacana telah mengetengahkan iklan hari raya daripada PETRONAS yang bertajuk “Dilema Irama”.  Berdasarkan iklan yang berdurasi selama 10 minit 10 saat itu, dapat disimpulkan bahawa iklan tersebut dapat menyentuh hati masyarakat sehingga ada yang menitiskan air mata. Iklan tersebut mengetengahkan instrumen atau alat musik tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi kini. Antara alat muzik tradisional yang terdapat dalam iklan tersebut adalah gambus, akordian, kompang dan sebagainya. Seperti yang kita ketahui bahawa alat muzik tradisional ini susah untuk dipelajari dan sesiapa yang mempunyai bakat haruslah selalu digilap. Iklan ini juga mengajar kita bahawa sesuatu perkara tersebut mempunyai kelebihan yang tersendiri. Contohnya, musik tradisional atau lagu tradisional ini mempunyai daya tarikan yang unik di mana liriknya penuh dengan nasihat, nilai dan adab. Nyanyian iramanya juga mempunyai lenggok yang tersendiri. Iklan ini juga mendidik kita supaya bersyukur, hormat dan bangga dengan asal usul kita dan tidak perlu malu dengan apa yang kita pelajari kerana sesungguhnya tidak semua orang mempunyai kelebihan seperti yang kita miliki. Selain itu, iklan ini juga telah memperoleh sebanyak 7M tontonan melalui YouTube. Secara keseluruhannya, iklan ini mengimbau kembali nostalgia ketika masih kecil, hormat-menghormati dan sebagainya. 
 
6.0 KESIMPULAN 

Kini, era berteknologi tinggi iklan merupakan sesuatu yang menarik bagi menyiarkan atau menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat. Melalui iklan juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat di sekeliling kita. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk menganalisis bentuk wacana yang terdapat dalam iklan tersebut. Model Norman Fairclough ini juga mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh digunakan untuk menganalisis iklan yang dipilih oleh pengkaji. Diharapkan kajian yang dilakukan ini dapat memberikan panduan dan manfaat kepada pembaca serta pengkaji yang seterusnya. 

Khamis, 1 Jun 2023

RUJUKAN

 RUJUKAN 

Puteri Najihah. (2019).  Analisis Wacana Kritis 3 Dimensi Berdasarkan Teori Norman Fairclough Dalam Cerpen.  Diperolehi daripada https://www.scribd.com/document/439348814/ANALISIS-WACANA-KRITIS-3-DIMENSI-BERDASARKAN-TEORI-NORMAN-FAIRCLOUGH-DALAM-CERPEN-docx#.

 Umar Fauzan. (2013). Analisis Wacana Kritis Model Fairclough. Jurnal Pendidikan, (5), Ms    209 diakses daripada https://www.researchgate.net/publication/351118810_Analisis_Wacana_Kritis_Model_Fairclough

 Zaliza Zubir & Rohizah Halim. (2020). Analisis Wacana Kritis : Satu Pengenalan Umur,  Journal of Communication in Scientific Inquiry , Volume 2, Ms 61 diakses daripada https://www.researchgate.net/publication/351118810_Analisis_Wacana_Kritis_Model_Fairclough

 Video Iklan Yang Dikaji.

Iklan Raya Daripada Tenaga Nasional Berhad- “Raya Macam Cara”.  Diperolehi daripada https://youtu.be/RROuAnGO3Yc.

 Iklan Raya Daripada Era FOOD My- “Tetamu”.  Diperolehi daripada https://youtu.be/ptj3JPr3fwY.

 Iklan Raya Petronas 2023: Dilema Irama.  Diperolehi daripada https://youtu.be/llQnF45k2_k.


ANALISIS DIMENSI WACANA : MODEL FAIRCLOUGH

  KOD KURSUS BML 3123    NAMA KURSUS ANALISIS WACANA BAHASA MELAYU PENSYARAH PROFESOR MADYA DR. MOHD RASHID BIN MD IDRIS TUGASAN KUMPULAN AN...